Perkataan nahu atau tatabahasa adalah terjemahan daripada perkataan grammar. Perkataan grammar ini berasal daripada perkataan Greek, makna asasnya ialah "sesuatu seni bacaan dan penulisan". Perkataan ini kemudiannya digunakan sebagai istilah umum untuk kajian dan pemerian (penghuraian) bahasa. Lazimnya, apabila orang menyebut nahu tradisional atau traditional grammar, inilah maksud yang tergambar di dalam fikiran mereka. Menurut Lyons (1971) yang tertulis di dalam artikelnya "Structural Organization of Language-Grammar" menyatakan bahawa pada mulanya (iaitu pada zaman pengkajian bahasa khusus kepada bahasa Greek dan Latin) kajian nahu menumpukan perhatiannya kepada bahasa kesusasteraan dan perhatian yang kecil sahaja diberikan kepada aspek lisan. Nahu merupakan aspek bahasa yang mesti diajar secara formal di sekolah-sekolah sebagaimana kemahiran menulis dan membaca. Mereka tidak menerangkan bahawa pertuturan merupakan aspek bahasa yang diucapkan berdasarkan kepada undang-undang atau nahu. Oleh yang demikian, bagi mereka 'nahu' mestilah preskriptif sifatnya, iaitu nahu mestilah merupakan peraturan-peraturan atau undang-undang bahasa yang dapat dijadikan pegangan di dalam penguasaan bahasa. Ahli-ahli tatabahasa mestilah menjalankan tugas mencipta undang-undang bagi pengucapan dan penulisan yang betul.
Bagi Lyons, nahu tidaklah hanya harus ditinjau dari sudut pandangan tersebut kerana nahu juga boleh ditinjau dari sudut deskriptif atau huraian. Berdasarkan sudut tinjauan deskriptif, nahu adalah satu kajian dalam bentuk huraian terhadap apa-apa yang sebenarnya dipertuturkan orang, bukan "apa yang sepatutnya dituturkan orang". Huraian itu bolehlah berdasarkan kepada pandangan seseorang atau pandangan kita sendiri.
Dalam ilmu linguistik moden, takrif nahu telah dikhususkan sedikit demi kepentingan kemudahan pengkajian. Aspek kajian nahu telah meninggalkan bidang fonetik, sebaliknya menumpukan kajian terhadap bidang morfologib dan sintaksis. Oleh yang demikian, dapatlah ditakrifkan bahawa nahu atau tatabahasa adalah satu bidang linguistik yang mengkaji dan memerikan bahasa secara saintifik dan kajiannya adalah ditumpukan kepada perkataan, proses pembentukannya dan proses penyusunannya dalam membentuk ayat.
BIDANG KAJIAN TATABAHASA
- MORFOLOGI
- Bidang yang mengkaji tentang perkataan dan proses pembentukannya.
- SINTAKSIS
- Bidang yang mengkaji mengenai frasa, klausa dan ayat.
No comments:
Post a Comment